SHAH ALAM 8 Sept. - Kerajaan campuran negeri Selangor diingatkan agar bersikap tegas dengan tidak melayan mana-mana pihak mendesak yang mahukan azan solat di surau dan masjid di negeri itu tidak lagi menggunakan pembesar suara.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (gambar) membuat desakan ekoran ada usaha pihak yang dipercayai didalangi salah sebuah parti yang membentuk kerajaan negeri itu, membuat petisyen membantah azan di Puchong dan Kota Damansara.
''Bagi UMNO, kita mahukan kerajaan negeri bertegas, jangan mudah mengalah kerana apa yang kelihatan ketika ini PKR (Parti Keadilan Rakyat) seolah-olah mengalah membiarkan sahaja perkara itu berlaku, manakala Pas pula tidak memainkan peranan.
''Ini sesuatu yang menghina Islam sedangkan Islam adalah agama rasmi, mempunyai peruntukan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan untuk pembangunan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas beberapa laporan mendakwa azan di Masjid Seksyen 5, Kota Damansara yang baru siap dan digunakan menjelang Ramadan lalu, tidak menggunakan pembesar suara dipercayai mempunyai kaitan dengan bantahan penduduk kawasan berkenaan.
Selain itu, katanya, usaha menyediakan petisyen membantah azan seperti itu juga pernah dilakukan sekumpulan penduduk di Puchong sejak Mei lalu.
''Di Puchong dan Kota Damansara, ada pihak mahu azan di kawasan itu dihentikan atas alasan menganggu penduduk.
''Tetapi saya percaya kalau penduduk yang membuat petisyen itu, mesti ada pihak-pihak yang mendorong mereka untuk berbuat demikian.
''Sedangkan kita mengamalkan kebebasan beragama, apabila ada penganut agama tertentu meraikan perayaan mereka sehingga membawa kepada penutupan jalan, orang Islam tidak membantah,'' ujar beliau.